Jumaat, 30 November 2012

Keajaiban saintifik Al Quran

 
Setiap tahun pada 17 Ramadan merupakan satu tarikh diingati oleh umat Islam kerana berlakunya peristiwa yang agung iaitu Nuzul al-Quran. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan kuliah serta media massa tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati persitiwa yang bersejarah ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, dengan kata lain menjelaskan kepada manusia aturan kehidupan dan membina peradaban agar menjadi umat yang dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran juga sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.

Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia untuk berfikir dan mengkaji alam semesta ini termasuk diri sendiri.

Kajian demi kajian yang dilakukan oleh manusia zaman moden ini membuktikan bahawa wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.


Dr. Maurice Bucaille
Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran ini secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr. Maurice Bucaille dari Perancis. Beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Quran, Bible dan Sains yang menyatakan bahawa: Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi.

Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa yang diutarakan oleh al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini.

Begitu juga dengan para geologis yang membuat kajian dengan mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 km.

Kebarangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi. Maka kejadian gunung-ganang sebagai pasak dan menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia stabiliti.

Al-Quran telah menyebut fenomena ini di dalam surah an-Naba ayat 6 - 7 yang bermaksud:

"Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?"

Dalam sebuah buku yang bertajuk Earth, salah seorang penulisnya ialah Frank Press yang merupakan seorang presiden Academy of Science di Amerika Syarikat selama 12 tahun.

Dalam buku tersebut beliau menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu merupakan hanya sebahagian kecil sahaja di bumi. Bahagian bawah gunung ini tertanam di dalam bumi seperti satu pasak.

Menurut beliau lagi, gunung-gunung ini memainkan peranan yang amat penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak ini.

Berdasarkan bukti dan penemuannya menunjukkan bahawa hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam al-Quran di dalam surah al-Anbiya ayat 31 yang bermaksud:

"Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka mendapat petunjuk."

Justeru, adalah diseru kepada kaum Muslimin agar menjaga alam sekitar ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat.

Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran ini sebenar-benarnya dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Frank Press
Segala fakta dan kajian sains yang baru ditemui di abad ini telah lama diabadikan dalam al-Quran yang telah diwahyukan lebih dari 1,400 tahun yang lampau. Justeru, adalah amat mustahil sekiranya Nabi Muhammad SAW boleh mereka-reka isi kandungan al-Quran sebagaimana yang ditohmahkan oleh orang-orang kafir dan sesungguhnya kajian saintifik al-Quran telah memberi kesedaran hakikat kehidupan dan meyakinkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Peluang dan ruang untuk menghayati al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada kita yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali 'Imran yang bermaksud:

"Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)."

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kufur sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk dari Allah SWT serta mengingkari kepada ayat-ayat Allah.

Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia agar kita menjadi golongan yang mulia.

Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber kehidupan.

Binalah kehidupan dengan al-Quran, mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala iktibar daripada kisah-kisah sebagai pengajaran.

Bangunkan minda dengan al-Quran, mendidik, memacu pemikiran dengan meneliti dan mengembangkan rahsia tersembunyi yang terkandung di dalam al-Quran dan di sebalik ciptaan Allah SWT.

Mudah-mudahan dengan kesedaran ini akan melahirkan umat yang bertakwa, memiliki akal yang sempurna, berilmu dan berdaya saing diri.

Didiklah anak-anak dengan didikan al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran al-Quran, mudah-mudahan dengan cara hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan.

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran, mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk ke arah yang lebih diredhai Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Qamar ayat 17 yang bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?"

sumber: e-khutbah JAKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


I made this widget at MyFlashFetish.com.